Showing posts with label 1Malaysia. Show all posts
Showing posts with label 1Malaysia. Show all posts

07 July 2012

Dah lama daaaahh

Itulah. Sebenarnya dah lama elemen berbilang kaum dimasukkan dalam filem/drama di Malaysia ini. Kalau sitcom, paling senang ialah Syyy... Kg Seri Wangi dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Berikut adalah tulisan daripada Zainuri Misfar akan perihal benda ni. Kadangkala, manusia boleh dibentuk secara sedar terus atau tidak sedar tidak terus.
Wonder apabila old timer bilang : " kami lebih open dalam interaction, happy co exist together masa kami muda-muda dulu. Tapi bila dah ada segregation dalam life, education... hidup dah seperti silo. Hard to see youngsters sama-sama buat aktiviti walaupon bodoh-bodoh enjoy-enjoy"
10 Januari 2010 : Berita Harian
Fragmen: Imej 1Malaysia Dalam Filem Klasik Tempatan

Oleh Zainuri Misfar

PADA malam Isnin lalu, ada masa terluang menonton filem Enam Jahanam yang disiarkan di TV2. Memanglah sesekali seronok juga menonton filem arahan dan lakonan Tan Sri P Ramlee. Filem itu dibuat pada tahun 1969. Filem ini boleh dianggap sebagai semi-purba, berdasarkan kepada pakaian pelakonnya seperti baju kemeja yang selalunya jarang dilihat dalam filem berlatarkan kisah purba atau Melayu klasik.

Kalau diikutkan unsur 1Malaysia sudah ada dalam filem ini. P Ramlee meletakkan orang Melayu sebagai peniaga barang kemas dan penjual kain, orang Cina dengan kedai gambar, manakala masyarakat India menjalankan perniagaan kedai runcit. Sememangnya dalam kebanyakan filem P Ramlee, unsur 1Malaysia dipaparkan secara langsung atau tidak langsung. Dalam erti kata lain ia dilakukan secara bersahaja biarpun secara komedi seperti babak pasangan keluarga India yang asyik bergaduh di tengah malam dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Dalam filem Sesudah Subuh yang diterbitkan pada tahun 1967, P. Ramlee sudah membawa masuk pelakon dari pelbagai kaum seperti Vera Wee yang memegang watak Alice, Hoo Thy Chong sebagai Allan, Soriya Kumari (Chandra), VI Stanley (Krishna Murthi), HG Gill, Sivapakiam Dharmalinggam, untuk digandingkan dengan pelakon Melayu yang dibarisi Khatijah Hashim, Saloma dan Ed Osmera sertaJuliana Ibrahim. Begitu juga dengan filem Gerimis (diterbitkan pada tahun 1968), apabila P Ramlee mengetengahkan pelakon kaum India, Chandra Shamugam sebagai pelakon utamanya dengan watak Leela iaitu isteri kepada Kamal (P Ramlee).

Sementara itu, lagu Di Mana Ku Cari Ganti dimuatkan semula dalam filem ini. Sebelum itu, lagu ini sudah dimuatkan dalam filem Ibu Mertuaku yang dibuat pada tahun 1962. P Ramlee meletakkan lagu ini pada kedudukan hampir sama. Kalau dalam Ibu Mertuaku, P Ramlee menyanyikan lagu itu kerana meratapi kematian isterinya, sedangkan dibawa lari oleh ibu mertuanya, Nyonya Mansor (lakonan Mak Dara), manakala Zaiton (Kalsom B atau Combi) pula asyik terkenang dengan kematian tunangnya yang terbunuh di medan perang Dalam filem Enam Jahanam pula, lagu ini mengiringi kesedihan Tantari (P Ramlee) ketika di kubur isterinya Masmera (lakonan Noor Azizah) yang mati dibunuh dan diperkosa oleh enam jahanam.

Enam jahanam bukanlah enam lelaki yang jadi perompak atau penyamun, tapi dalam bahasa tersirat, ia adalah satu istilah daripada P Ramlee yang menggambarkan enam perkara yang boleh menjahanamkan negara yang perlu dihapuskan. Enam perkara besar itu mungkin berkaitan dengan salah guna kuasa, rasuah, pembelot atau pengkhianat dan penjenayah. Nama watak penjahat itu juga barangkali ada makna tersendiri bagi P Ramlee, iaitu Paragas yang dipegang oleh Osman Md Amin, Sujamang (JB Yusof) , Karambit (Ahmad Dadida), Katipang (Kamal Idris), Mumbala (Sharif Baboo) dan Jaginda dilakonkan oleh Ibrahim Sabtu.

Begitulah secara ringkasnya mengenai apa yang tersirat di sebalik filem Enam Jahanam yang turut menampilkan Yusof Latiff sebagai Damburi, Idris Hashim (Sanggabuana), Minah Hashim (isteri Sanggabuana) dan Karim Latiff (Sultan). Sebenarnya bukan saja karya P Ramlee, terdapat beberapa filem pada tahun 1970-an dan 80-an yang sudah memberikan suntikan 1Malaysia secara bersahaja. FilemMekanik arahan Othman Hafsham pada 1983 adalah satu lagi filem yang memberikan latar belakang rakyat Malaysia yang hidup dalam harmoni.

Kita sendiri dan mereka yang pernah menonton filem Mekanik mungkin tidak dapat lupa dengan sepatah dialog daripada Nina lakonan Susan Lankaster iaitu; “Orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke... orang biru ke. Kita orang Malaysia kan?". Dalam filem Man Laksa arahan Mamat Khalid juga turut memperlihatkan keharmonian tiga kaum utama di negara ini yang boleh hidup dan bergembira bersama tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Dalam konteks sekarang, kita tidak perlulah ada program seperti drama TV yang hendak mengajar macam mana hendak bersatu padu antara kaum. Semua orang tahu hidup aman damai dan bersatu padu itu penting dalam sesebuah negara. Memanglah program seperti ini masih perlu, tetapi usahlah bersifat retorik. Seperti filem Enam Jahanam, Sesudah Subuh, Gerimis, Mekanik dan Man Laksa adalah antara filem-filem atau karya gambar bergerak yang memupuk keharmonian hidup bersatu dan mengekalkan kedamaian walaupun negara kita pelbagai kaum dengan cara bersahaja, bukan dibuat-buat.

Oleh itu, RTM dan agensi kerajaan lain seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Filem Negara Malaysia (FNM) perlulah memikirkan kaedah yang lebih kreatif dalam menghasilkan karya berbentuk kenegaraan. Malaysia kini adalah negara moden dengan penduduknya mempunyai tahap pendidikan yang semakin baik. Jadi kaedah untuk menghasilkan iklan atau program berbentuk propaganda kerajaan ini kenalah bersesuaian dengan tahap pemikiran rakyat.

Bukan saja program TV, tetapi lagu-lagu yang disiarkan menerusi radio juga biarlah benar-benar memberi kesan kepada pendengar, terutama golongan sasar seperti kanak-kanak dan golongan remaja kerana mereka adalah generasi masa depan negara. Apa yang kita dengar pada lagu-lagu propaganda untuk tujuan patriotik dan kenegaraan ialah bahasa pada seni katanya yang kadang-kadang ‘bombastik’ dan agak sukar difahami oleh anak-anak kecil. jadi, penulis lirik untuk lagu patriotik kenalah lihat dengan lagu patriotik klasik seperti lirik Tanggal 31 yang catchy dan mudah didengar. - zainuri@bharian.com.my

02 October 2011

MENCONTENG ARANG KE MUKA SENDIRI


Aku cuba buat sambungan daripada post aku yang lepas. Post mengenai STEADYKAN KITA? Melihat bagaimana diberi muka sesungguh-sungguhnya terhadap budak ni. Dalam post aku yang lepas, one by one aku listkan video klip mengenai keceluparan budak ni dalam hal menghina simbol negara, menegur dalam kaedah kurang ajar terhadap institusi pendidikan, TNB dan Utusan Malaysia. Aku berlapang dada dalam membuat teguran tapi kalau celupar melancau, mencelup, four letter words, rasanya boleh tahan ke? Budak ni berani melancau, four letter words sebab ada merga merga yang lembik dan mengambil politikal risk yang nampak boleh makan diri.

Aku setuju dengan perenggan dalam The Malaysian Insider yang berbunyi:

Kata akhbar itu ia bukan salah filem, jalan cerita, mahupun pelakon-pelakon filem itu tetapi kerana ia hasil karya Wee yang dahulunya pernah menghina pelbagai pihak dalam negara Malaysia ini, pernah juga hina lagu Negaraku. Lanjut bacaan

Aku pun tak faham dengan artis yang terlibat dalam filem berkenaan yang tak de rasa apa-apa perasaan mengenai perilaku budak ni sebelum ini. Namun, aku bersuci hati bahawa mereka tiada projek lain nak hadap dan duit pun tak cukup dalam poket. Hebat budak ni, perangai cam haram pun dapat segala access, segala bantuan sehingga boleh mengarah filem. Orang lain? Kena dari bawah dulu la. Kawan aku 11 tahun baru dapat mengarah filem sulung. Mudahkan? Buat perangai cam haram, boleh dapat semua. Sehingga ada pengarah filem yang dah buat 4-5 filem turut mengomen akan peluang yang diberi kepada budak ni. Baca selanjutnya.

Anehnya, kalau aku yang buat, mau kena carassss sebelom matahari naik.

Kemuncak kehebatan budak ni bila PM sendiri boleh buat kenyataan yang memberi kelebihan kepada budak ni. Aku tak tahu apa niat kenyataan tersebut. Tetapi dengan segala macam haru biru yang dilakukan, aku rasa tak membantu pun. Sangat tak membantu. Inilah keadaan bila yang minoriti menguasai situasi. Baca balik di sini

Memetik sebahagian ayat Siti Jarum yang aku sebenarnya cemuih dan memang dah tak popular di kalangan forumers yang backing budak ni :

Biar pun mencerca lagu Negaraku, dia tidak diapa-apakan. Ini salah orang kita juga yang takut sangat harga saham politik merudum hingga membiarkan orang pijak kepala. Kononnya budak Cina ini ada nilai saham politik. Sebab itu tak ada siapa yang ambil tindakan. Peliknya yang ada kuasa tak berani guna kuasa, takut dan menggigil kerana nak jaga periuk nasi politik. Demikianlah secebis kisah dari bercebis-cebis yang membuatkan Siti sangat marah.

Aku? Perasaan sangat lancau, fuck up dan tu nia bu. Rasanya tak salah sebab budak ni buat ok jer kannnn? Aku pun tak terikut dengan gayanya cuma nak bandingkan bahawa tak salah celupar carut dalam hal ini.

Pagi tadi kawan aku ada post satu rangkap. Bunyi gini :

Org tua kita ada bilang kalau nak bermandi, pertama teluk, kedua laut. Kalau nak mencari kepala, pertama elok, kedua pandai.

Semua dah complete tapi kemana elok dan pandai tu? Kerap jugak ke laut weeehhh. Sapa yang jadi punahsihat sebenarnya nih? Atau tak terbelit teruk ke sampai semua nak dilepas mudah. Nak suroh buck up dah jenuh. Moga-moga hgpa yang support budak ni, yang bagi jalan kat budak ni tak jadi Buck Rogers selepas ni. Pesan-pesan dah. Pesan lebih bimbang dibilang kanyiaq tak reti apa-apa. Narrow minded. Tak berjiwa besar bla bla. Kesimpulannya hanya golongan istimewa sahaja mampu menconteng arang ke muka sendiri. Siapakah golongan istimewa itu? Aku taklah. Aku jiwa tak besar dan besaq kuman sahaja.


-baru lepas bakaq ikan dgn daging onta. Pakai arang jugaklah-

15 December 2010

Kaum, bangsa dan rakyat Malaysia - DATUK DR. HASSAN AHMAD

'BANGSA MALAYSIA' tidak sesuai digunakan di negara pelbagai kaum etnik. Istilah yang lebih sesuai adalah rakyat Malaysia. Kita semua adalah rakyat Malaysia, tidak kira kaum etnik atau bangsa.


DARI segi implikasi makna sosiobudaya dan sosiopolitik, istilah kaum, bangsa dan rakyat tidak sama maknanya. Kaum bererti puak atau golongan yang bermacam-macam jenisnya - ada 'kaum tua' dan 'kaum muda', ada kaum atau puak (atau mazhab sunnah atau puak syiah), ada kaum atau 'golongan kiri' dan 'golongan kanan' (istilah Barat), dan banyak lagi.


Semua jenis kaum atau golongan yang tersebut itu tidak mengira bangsa atau etnik yang menjadi tali atau faktor yang mengikat keanggotaan kaum itu adalah fahaman bersama mereka tentang sesuatu hal, baik ideologi atau lain-lain.Tetapi ada juga kaum yang keanggotaannya terdiri daripada keturunan etnik atau bangsa yang sama. Misalnya, di Malaysia - ada kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.


Jadi, kaum juga boleh bererti race atau ras yang menurut takrif ilmu antropologi bererti kaum yang anggotanya mempunyai ciri-ciri dan rupa bentuk fizikal yang pada keseluruhannya sama termasuk mengamalkan adat resam iaitu ciri-ciri budaya yang sama.
Dari segi ini, kaum juga boleh bererti 'suku kaum' atau tribes atau tribal groups.


Kalau mengikut konsep sosiopolitik Barat, kaum bererti golongan etnik yang tidak mempunyai negara atau 'state', misalnya kaum gipsi di Eropah atau kaum Yahudi di merata Eropah yang tidak mempunyai negara (sebelum Israel ditubuhkan).


Menurut konsep itu, bangsa atau nation dikaitkan dengan negara atau 'state'. Konsep ini tercetus di Eropah setelah lahir perasaan atau kesedaran nasionalisme bangsa-bangsa Eropah yang sampai kemuncaknya pada zaman Nazi dalam tahun 1930-an iaitu apabila Hitler cuba mewujudkan sebuah 'nation-state' atau negara-bangsa Jerman 'super race', negara yang terdiri daripada penduduk bangsa Jerman tulen sahaja.


Maka berlakulah gerakan membersihkan negara Jerman itu daripada semua kaum bukan keturunan bangsa Jerman tulen dan asli. Kaum yang menjadi sasaran gerakan pembersihan etnik itu adalah gipsi dan Yahudi, yang dianggap kaum merempat yang tidak mempunyai 'negara' sendiri.


Konsep atau ideologi 'nation-state' yang bererti negara yang terdiri daripada satu bangsa sahaja itu secara ironinya sedang dibina oleh kaum Yahudi di Israel. Mereka mahu dan sedang membina sebuah 'negara-bangsa' Yahudi, iaitu Israel yang penduduknya terdiri daripada satu bangsa sahaja, iaitu bangsa Yahudi.


Semua kaum lain akan dihapuskan atau kalau tidak dihapuskan mereka akan dijadikan kaum kelas kedua atau ketiga, kaum yang tidak akan diberikan hak dan layanan yang sama dengan 'bangsa Yahudi tulen'.


Saya katakan ini adalah situasi yang ironis kerana apa yang dilakukan oleh Nazi terhadap kaum Yahudi dalam kempen Hitler untuk menubuhkan negara-bangsa Jerman yang tulen kini sedang dilakukan oleh kaum Yahudi di Israel.


Bagaimana keadaan di Malaysia? Suatu hal yang perlu dijelaskan adalah, kalau mengikut takrif sosiopolitik Barat, seperti yang tersebut tadi, orang Melayu sudah menjadi bangsa atau nationsejak ratusan tahun dahulu, tidak hanya merupakan kesatuan etnik yang disebut 'kaum' sama seperti kaum-kaum lain di negara ini atau di rantau ini.


Alasannya adalah orang Melayu sudah mempunyai negeri atau negara sejak sekurang-kurangnya tertubuhnya kerajaan Melayu-Islam Samudera-Pasai dalam abad ke-13, menggantikan kerajaan Melayu-Srivijaya.


Kita lihat bagaimana, sebelum dan sejak abad itu, orang Melayu berkembang dari tahap satu kaum etnik Melayu menjadi satu kesatuan umat yang besar, merentas segala macam sempadan etnik dan sub-etnik Melayu setempat dan daerah, mendirikan kerajaan, membina negeri atau negara, siap dengan segala institusi undang-undangnya, sistem pentadbirannya, sistem keselamatan dalam negerinya, sistem pertahanannya, dan sistem pengurusan perdagangan di Selat Melaka, selain membina korpus ilmu dan persuratan yang cemerlang mulai abad ke-15 sampai ke puncak yang gemilang dalam abad ke-17 dan ke-18. Ia tidak sahaja di kawasan yang disebut 'Tanah Melayu' tetapi merentas sempadan di seluruh rantau yang orang Barat sebut the Malay Archepelago.


Bahasa yang digunakan untuk membina tamadun itu bukan dialek-dialek daerah bahasa Melayu tetapi adalah bahasa Melayu kebangsaan atau bahasa Melayu persuratan. Raffles menggunakan istilah 'the Malay nation', iaitu bangsa Melayu, tidak suku kaum Melayu.


Bangsa Melayu itu tidak lenyap, tidak terpecah atau dipecah-pecahkan menjadi kaum atau suku-suku kaum seperti kaum 'Red Indian' di Amerika, setelah datangnya tiga kuasa penjajah Barat iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris mulai awal abad ke-16 sehinggalah bangsa Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 di Tanah Melayu.Negeri-negeri Melayu dan kerajaan Melayu di Semenanjung Malaysia yang disebut Persekutuan Tanah Melayu dahulu, kekal hingga hari ini.


Bagaimanapun, istilah bangsa itu dari segi implikasi makna politiknya dalam sejarah tamadun bangsa Melayu lebih merupakan entiti atau kesatuan sosiobudaya, tidak dari segi makna politik-legalistiknya.


Kalau orang Melayu berkata dia 'megah bangsa' atau 'bangga bangsa' menjadi Melayu, ini adalah kesedaran sosiobudayanya. Tiada kaum yang tidak mempunyai perasaan 'megah kaum' atau 'megah bangsa' itu.
Bangsa Cina (di negeri China), bangsa Jepun, bangsa Korea dan semua bangsa lain di dunia mempunyai perasaan megah atau bangga bangsa sendiri.


Bagaimanapun, orang Melayu mempunyai istilah lain untuk membezakan diri mereka sebagai 'bangsa Melayu' dari segi makna sosiobudaya dengan konsep rakyat dari segi makna 'politik-legalistiknya'. Sejak negeri atau negara Melayu yang terawal ditubuhkan, penduduk dalam negeri itu disebut rakyat.


Pada zaman itu, rakyat bererti rakyat Melayu yang taat kepada raja dan negeri Melayu. Syarat untuk menjadi 'rakyat Melayu' di negeri Melayu atau rakyat raja Melayu itu adalah mereka yang berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam.
Pada zaman ini, istilah rakyat boleh disamakan dengan konsep 'warga negara'. Konsep atau istilah rakyat atau warga negara ini tidak sama lagi dengan konsep bangsa.


Apabila saya berkata bahawa saya adalah bangsa Melayu, ia merujuk kepada dua taraf saya iaitu pertama taraf dari segi asal usul sosiobudaya saya, dan kedua merujuk kepada taraf saya sebagai bangsa atau rakyat yang berasal dari negara atau negeri Melayu yang sudah ada di Tanah Melayu ini sejak ratusan tahun dahulu. Ertinya, nenek moyang saya tidak berasal dari negeri atau negara lain.
Jadi, saya mempunyai dua taraf iaitu pertama sebagai bangsa Melayu dan kedua sebagai rakyat negara yang disebut Malaysia. Taraf saya sebagai bangsa Melayu tidak boleh diubah menjadi bangsa lain kerana memang itulah keturunan saya sejak asal, dijadikan Allah sebagai bangsa manusia, sejak Nabi Adam.


Demikian juga kaum bukan Melayu, mereka tidak boleh mengubah keturunan etnik mereka, walaupun mereka boleh mengubah agama mereka. Tetapi saya dan sesiapa pun yang menjadi rakyat Malaysia boleh mengubah atau menukar kerakyatan saya, misalnya menjadi rakyat atau warga negara Jepun atau Britian atau Australia atau Cina atau India atau Indonesia.


Namun, keturunan saya sebagai bangsa Melayu tetap tidak berubah. Yang berubah adalah status kerakyatan. Begitu juga Yang Berhormat Lim Kit Siang adalah kaum etnik Cina - beliau tidak boleh mengubah status keturunan etnik Cinanya.


Tetapi beliau juga adalah rakyat atau warga negara Malaysia, bukan rakyat atau warga negara China.
Maka benarlah penjelasan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini tentang perkara ini apabila Lim Kit Siang mempersoalkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang berkata bahawa dia adalah bangsa/orang Melayu dahulu, kemudian baru rakyat Malaysia.


Gagasan IMalaysia tidak bererti gagasan untuk mewujudkan '1Bangsa Malaysia'. Ini tidak mungkin. Gagasan 1Malaysia adalah konsep kenegaraan yang ada kaitannya dengan soal kerakyatan Malaysia, dari segi undang-undang dan Perlembagaan.
Ini bererti laungan untuk mewujudkan satu 'bangsa Malaysia' adalah gagasan atau cita-cita yang mustahil tercapai. Kita jangan terikut-ikut dengan konsep atau ideologi tentang 'negara-bangsa' atau 'nation-state'.


Ini konsep yang berasal dari sentimen atau sejarah nasionalisme Barat (Eropah). Kita tahu, di dunia ini tidak ada negara yang penduduknya terdiri daripada satu bangsa sahaja. Di seluruh Eropah, penduduknya terdiri daripada pelbagai 'keturunan etnik'.
Konsep yang sudah ada dalam tradisi bangsa kita di negara ini, sejak zaman dahulu kala lagi adalah konsep rakyat. Saya mengagak bahawa salah satu tujuan 1Malaysia adalah untuk memastikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu, makmur, aman dan damai tidak berdasarkan kepentingan etnik atau kaum tetapi berdasarkan kepentingan negara dan matlamat itu hanya boleh dicapai melalui sistem dan institusi negara, melalui dasar-dasar pembangunan ekonomi, sosial, undang-undang dan politik yang adil, seimbang dan saksama kepada semua rakyat Malaysia.


Sehubungan itu, kalau kita teliti Perlembagaan Malaysia dengan fikiran dan hati yang objektif, tanpa dipengaruh oleh perasaan atau kepentingan kaum, kita akan menyedari bahawa perlembagaan itu mengandungi isi dan semangat, secara tersurat mahupun tersirat, yang mengarah kepada tiga prinsip dan matlamat yang fundamental iaitu keadilan, keseimbangan dan kesaksamaan antara kaum, khususnya dalam pembangunan dan pembahagian hasil ekonomi negara.

Oleh DATUK DR. HASSAN AHMAD