Pada 15.1.2012, Utusan Malaysia ada mengeluarkan artikel yang menarik. Artikel mengenai :
Apa kaitan kaset dan pensel?
PADA pertengahan 1980-an, terdapat satu pusat jualan bersebelahan Dermaga Brooke yang juga stesen bas untuk ke selatan Kuching. Pusat jualan berbumbung bernama Dockyard itu menyerupai konsep Uptown yang semakin banyak di Lembah Klang hari ini iaitu kebanyakannya menjual barangan tiruan, selain tempat makan dan jeti penambang ke Kampung Tanjung.
Sambil menunggu bas, saya akan 'menyelepat' (mengambil kesempatan) memasukinya bukan saja untuk lari daripada asap bas tetapi juga meninjau kedai kaset di dalamnya. Sehingga tamat era menaiki bas, saya antara pelanggan tetap di situ. Ini kerana kaset cetak rompak di situ dijual pada harga RM3 untuk penyanyi tempatan dan RM5 untuk Barat atau RM10 jika ia ada label BASF (hanya bila dewasa baru mengerti apa makna BASF).
Tidak pasti apakah saya akan dicemuh atau diambil tindakan kerana mengaku membeli kaset cetak rompak di zaman persekolahan dulu tetapi apa bezanya dengan orang zaman sekarang yang memuat turun lagu atau video secara haram di Internet?
Namun apa yang pasti, di zaman sekolah dulu agak sulit untuk membeli kaset asli berharga RM12 ke atas. Apatah lagi harganya tidak seragam, mengikut populariti seseorang penyanyi. Minta duit pada bapa untuk membeli kaset, sekali-sekala mungkin dilayan. Kalau selalu, memang hendak kena tarbiah. Maka kaedah paling afdal adalah melaksanakan langkah berjimat-cermat yang ekstrem. Duit belanja sehari sebanyak RM3 yang merangkumi RM1.20 bas pergi-balik, 80 sen untuk air dan RM1 untuk nasi. Duit bas tidak boleh dipotong tetapi makan boleh dicatu. Justeru bila ada album baru di pasaran, saya akan memotong kos makan selama tiga hari bagi mengumpul RM5.
Sebenarnya, cerita di atas adalah intipati tazkirah saya kepada anak-anak semasa makan malam baru-baru ini, bertujuan menyemai kesedaran mengenai perlunya berjimat-cermat dan kaedah melakukannya tanpa menyusahkan ibu bapa. Sebelum sempat sampai ke rumusan, anak kedua berusia 10 tahun dengan muka bingung bertanya: ''Apa itu kaset?''.
Bagi anda yang segenerasi Michael Jackson seperti saya atau paling tidak pun, Bon Jovi atau Iron Maiden, kita sebenarnya telah melalui proses inovasi teknologi yang nyata tapi tidak sedar sepenuhnya.
Sama seperti orang Amerika Syarikat pada awal kurun ke-20 semasa pertama kali kereta Model T diperkenalkan oleh Henry Ford pada 1908. Menjelang 1940-an, penggunaan kuda dan kereta kuda dianggap kuno atau layak digunakan di pedalaman sahaja.
Penggunaan kaset, sedar atau tidak sedar sebenarnya baru sahaja pupus, mungkin pada awal tahun 2000, mungkin awal lagi. Saya tiada kajian ilmiah mengenainya untuk dirujuk. Ini seiring dengan pengenalan cakera padat (CD) pada awal 1990-an. Radio Hi-Fi ketika itu memiliki dua pemain audio iaitu kaset dan CD. Malah kereta Perodua Kelisa yang dijual pada 2003 masih menggunakan pemain kaset sahaja.
generasi
Baru-baru ini saya terbaca kaset adalah antara perkara yang menjadi kelaziman dulu, kini dianggap pupus dan menjadi bahan lawak jenaka. Dipaparkan gambar kaset dan sebatang pensel (atau penutup pen). Di bawahnya tertera soalan: ''Anak-anak kita tidak akan tahu kaitan antara kedua-duanya''.
Untuk pembaca generasi baru, zaman kaset dulu tidak semudah iPod atau MP3 yang hanya dengan sekali tekan pada butang, boleh memainkan lagu khusus yang dimahukan. Maka, pensel atau pen akan digunakan untuk rewind (memusingkan tali kaset). Kaset berfungsi pada dua bahagian (depan dan belakang). Jika lagu tersusun pada bahagian A, anda tidak boleh mendengarnya di bahagian B. Untuk mengulang dengarnya, anda perlu mendengar sampai habis bahagian B atau rewind bahagian A dengan pemutar radio atau pensel.
Di kalangan wartawan, kaset ini lebih daripada sekadar memutarkan lagu. Ia adalah kelengkapan kerja iaitu bagi merakam sidang akhbar yang kemudiannya boleh didengar semula jika timbul keraguan. Rakaman kaset juga boleh dikemuka sebagai bahan bukti di mahkamah. Perubahan teknologi audio ini juga memberi dilema kepada wartawan. Ketika perakam digital mula-mula diperkenalkan, ia sememangnya ditujukan kepada wartawan. Masalahnya, ia dijual pada harga sangat mahal. Sekarang pun masih mahal tetapi tempoh masa rakaman adalah 100 jam berbanding pada awal pengenalannya hanya sekitar 36 jam. Maka perakam kaset masih terus digunakan. Saiznya agak besar berbanding perakam digital yang kecil daripada kotak rokok.
Kaset ini pula didatangkan dalam pelbagai jenis. Ada yang berkualiti tinggi dan rendah. BASF iaitu Badische Anilin- und Soda-Fabrik berpusat di Jerman mencipta rakaman magnetik pada kaset, yang menghasilkan bunyi lebih nyaring dan jelas berbanding kaset biasa. Oleh kerana pengetahuan agak terhad di zaman sekolah menengah dulu, memiliki koleksi Metallica dalam bentuk BASF adalah fakta yang dicemburui rakan-taulan ketika itu.
Evolusi kaset juga telah mendorong penciptaan radio bergerak yang merupakan ibu kepada iPod dan MP3 hari ini. Paling dikenali adalah Sony Walkman yang boleh memainkan kaset dan radio stesen biasa. Berjalan di tengah bandar sambil mendengar Walkman adalah simbol status sosial ketika itu, walaupun kena membawa lima enam kaset sekali gus dalam beg juga pensel rewind (untuk jimat bateri).
Sekarang ini, koleksi muzik Heavy Metal saya terkandung dalam USB (Universal Serial Bus). Tidak perlu bawa kaset atau CD yang menyempitkan ruang kereta atau memberatkan beg. Ia boleh dicucuk terus ke pemain audio kereta dan dicabut bila mahu mendengarnya lagi di pejabat (pasang di komputer) seperti semasa saya menyiapkan artikel ini, sambil mendengar lagu Duran Duran dan Rick Astley.
Sekian waktu yang lalu, aku ada pergi meninjau-ninjau sebuah kedai basikal di pekan Bangi Lama. Old school kedai ni. Chop Hock Lee kalau tak silap. Tuan dia pun old school. Dia bilang ramai orang salah anggap dengan rambut ja yang cool itu. Ada sangka dia main band, rockstar dan bagai bagai. Jawapannya mudah, " Saya breed Hippie, so sampai sekarang saya mentenlah"
Isteri dia pun steady, tapi tak lah hippie juga. Uncle ni hard fan Deep Purple dan Bob Dylan. Beliau mendakwa ada 4000 koleksi lagu dalam simpanan. Piring hitam hingga ke CD dan Kaset. Pada 1974/75 masa itu susah nak miliki kaset original. Biasanya beliau dan kawan-kawan ikat perut untuk simpan sedikit wang dari wang saku sekolah untuk bayar kos rekaman. 20 sen satu lagu. Dari piring hitam ke kaset. Antara album kesukaan beliau ialah IN ROCK : Deep Purple.
Cuma pada Julai 2011, kedai asal beliau telah terbakar dan menghanguskan koleksi kaset-kaset yang beliau kumpul sejak muda remaja. Sebelum mengakhiri perbualan dengan beliau berkata, " saya nak suruh anak saya beli album IN ROCK tu."
Rock terus rock uncle. Bicycle Rockstar. Kalau nak borak-borak pasal rock dan basikal. sila ke pekan Bangi Lama. Ada satu sahaja owner kedai yang rambut panjang.
Selamat Tahun Baru Cina!!!
1 comment:
its nice to read a useful article for beginner like me. Some of points from this article are very helpful for me as I haven’t considered them yet. I would like to say thank you for sharing this cool article. Bookmarked and sharing for friends.
Daewoo Nubira AC Compressor
Post a Comment