03 September 2011

Cannons of Talang - FULL



Meriam Kg Talang - Mengelirukan Koklea






Malam raya hari itu, aku kembali ke Kg Talang. Berbekalkan 4 batang lemang, aku tekan minyak ke Kuala Kangsar. Perjalanan jam 10 malam sememangnya tidak menggembirakan kerana terpaksa melalui laluan-laluan yang agak steady untuk menjadi takut dan kecut perot. ekoran singgah di Padang Tenggala, Parit... aku tak ada pilihan melainkan mengambil laluan Tg Belanja-Manong untuk ke Kuala Kangsar. Pengalaman mengelirukan paksi kognitif aku pernah dilalui pada bulan puasa tahun 1997. Pada masa itu, aku melalui laluan yang sama dan entah apa yang menyapa di tepi tingkap van membuatkan aku terpaksa dengan hensemnya drop gear dan tukar gear gostan untuk berpatah balik hehehe

Sesampainya di Kuala Kangsar, bandar DiRaja ini bertukar menjadi Bangkok kerana punyala ramai kereta memenuhi segenap pelosok celahan jalan di bandar ini. Apabila sauh dilempar di Padang Kobo, aku segera menghubungi Panglima Medan, Brig Jen Kehormat Cikgu Sham selaku penunjuk arah ke medan tembak. Sementara beliau sampai, aku sempat ziarah keluarga pak menakan aku walaupun secara teknikalnya semua dah tidur. Mujur sepupu aku maseh hitam matanya. Kami ke medan tembak iaitu di kawasan bendang/sawah di Kg Talang. Terdapat lima angkatan meriam. Yang ditempatkan di lokasi-lokasi berikut:

1. Talang Hilir
2. Talang Changkat
3. Talang Hulu
4. Tonggak
5. Bersebelahan Perkuburan




Angkatan-angkatan ini akan berselang seli melepaskan tembakan mengikut giliran. Adakalanya menurut Panglima Medan, pernah dilepaskan serentak. Pada malam itu, aku tak dapat tembakan berjemaah seperti yang dinyatakan. Angkatan-angkatan ini akan menggunakan isyarat obor untuk menyatakan bahawa mereka dah bersedia melepaskan tembakan. Obor dari semua penembak akan diangkat menegak. Dengan arahan daripada Komander bertauliah, mereka akan melepaskan tembakan mengikut perancangan yang ditelah diaturkan.



Menurut Panglima Medan lagi, kos membeli bahan seperti karbid dan bunga api ( ini untuk acara selang seli) adalah melalui kutipan dan sumbangan penduduk kampong dan sponsorship daripada orang-orang tertentu. Anak-anak medan tempur ini memiliki busana yang tersendiri iaitu ear plug, sarong tangan dan kasut. Tapi ada juga angkatan yang kurang disiplin. Pakai selipar aje. Hahahah

29 August 2011

Jalan P. Ramlee ke KLCC



taufiq.mindablog.com



Perasmian.


Semasa aku lepas habeh mengaji di ITM pada lewat tahun 1999 yang lalu. Aku mula bertugas sebagai Pembantu Stor di 7E 131 Bandar Sri Damansara. Gagah bertahan sebulan sambil melayan dua rompakan sebulan di situ. Aku layan saja sebab semua berlaku bukan dalam shift aku. Ini semua terjadi pada bulan Disember 1999. Aku ingat lagi hari pengabih aku duty adalah pada petang 31 Disember 1999. Shift 1500 hingga 2300. Setelah borak-borak mengucap selamat akan masa depan masing-masing, aku pulas minyak balik ke Kuchai selaku kediaman rasmi aku pada masa itu. Aku ingat sangat detik tahun baru milenia 2000, aku sedang konsisten pulas minyak untuk kali terakhir melintasi Supermarket ONE Utama. Dapatlah melihat percikan bunga api yang semahu-mahunya mekar di dada malam. Sana pecah, sini pancut naik, sana mekar dan sini berasap. Selamat tahun baru 2000.

Rezeki tak terenti di situ, setelah tiba-tiba menjadi pembaca setia akhbar Inggeris setiap Sabtu dan Ahad, aku dapat pulak bekerja di Majalah RPM yang berpejabat di Jalan P. Ramlee. RPM ini singkatan Rekreasi Permotoran Malaysia. Kerja banyak buat alih bahasa untuk artikel F1 dan MotoGP serta kerja rencam ikut sempat. Pada masa itu, bulan puasa baru bermula. Kerja aku yang biasa balik jam 6 petang memang gagal sangat nak balik iftar di kediaman rasmi. Iftar di kotaraya aje. Hitung-hitung setiap hari bekerja, aku bukak posa di KL. Akan tetapi akibat keputusan duit yang agak kronik, aku biasa menapak sejauh sekilometer hala ke KLCC untuk bukak posa free. Tempat berhenti Surau As Syakirin. Baru lagi surau itu. Pada masa itu, tak ramai lagi yang memenuhi surau berkenaan. Seronok berbukak posa di sana kerana dapat makan free dan bergaul dengan rakan-rakan sebukak posa daripada pelbagai peringkat. Kat situlah, aku jimat duit makan. Habis Maghrib, aku menapak balik ke jalan P. Ramlee untuk siap apa patut kerja tak selesai dan pulas minyak ke kediaman rasmi. Kalau aku pulas ke surau As Syakirin, aku terus ke kediaman rasmi selepas Maghrib. Terawih tak sekerap di sana.

Sekarang, surau yang aku dok menumpang makan free masa bukak posa dan berjemaah Maghrib dan terawih sudah menjadi masjid. Baru-baru ini, terasmi sudah Masjid berkenaan. AlhamdulilLah.

Daulat Tuanku. Allah Akbar!!!



28 August 2011

Melabelkan Yang Betul- Koperal Raja Alang Sakti


Batu nisan Almarhum




Baru-baru ini, Bang Mat Sabu dalam ceramah beliau di Pulau Pinang telah membuat kenyataan mengenai Bukit Kepong, Dua Perdana Menteri Awal, Mat Indera dan PKM. Sebagai seorang nombor dua dalam Parti yang mengamalkan ketertiban dalam campur gaul dan menjaga perasaan orang lain, aku percaya Bang Mat Sabu dah fikir habis dengan segala kenyataan berkenaan dan penoh rasa tanggungjawab ke atasnya. Biarlah orang lain yang nak melompat dengan sinikal beliau.

Aku tak nak komen pun. Biar yang melompat terus bersenam. Biar yang bersopan terus menerus sopan.

Sebentar tadi, aku ke Tanah Perkuburan Ayer Tawar, Ayer Tawar, Perak. Niat nak pecerah kubur keluarga mertua yang mana mampu. Alih-alih bila sampai semua sudah clear. Terima kasih kepada pengurusan.

Sempat aku ziarah subuah pusara yang bagi aku berbeza dengan pusara yang lain. Bezanya kerana di nesannya mempunyai lambang PDRM. Tidak seperti nesan lain yang standard persembahannya.

Di pusara ini bersemadinya Koperal Raja Alang Sakti* (Sakti ini tidak dapat dipastikan kebenarannya). Almarhum meninggal dunia pada tahun 1946. Maklumat di nesan ini sebahagiannya telah luput dimamah waktu. Hanya maseh kekal nombor 1946 sebagai saksi. Menurut riwayat orang tempatan, Almarhum telah dibunuh oleh MPAJA di kawasan sekitar pusara ini semasa Tanah Melayu dikuasai selama dua minggu oleh MPAJA akibat pengunduran Jepun. Ruang di antara pengunduran Jepun dengan kedatangan semula British telah diambil peluang oleh MPAJA untuk membalas dendam kepada mana-mana individu yang sebelum itu bersekongkol dengan Jepun. Teringat kisah encik Buang dalam Sarjan Hassan. Hehe

Almarhum ini telah dibawa ke hutan, oleh organ MPAJA. Digantung, disula, diseksa namun ajalnya belum tiba. Akibat tidak tahan menanggung derita, almarhum telah menyatakan kepada kumpulan MPAJA yang menyeksanya supaya membawa dirinya keluar dari hutan. Almarhum mahu mati di hadapan orang-orang Islam. Begitu hajatnya Akhirnya pada tarikh yang tidak dapat dikenalpasti dalam tahun 1946, Almarhum Raja Alang Sakti, telah dibunuh oleh MPAJA di kawasan yang berhampiran dengan pusara seperti di atas. Menurut riwayat, almarhum ditembak dengan cara menembak dari telinga kanan keluar ke telinga kiri. Mungkin mengacu senjata ke lubang telinga barangkali. Menurut satu versi, almarhum ditembak di cuping telinganya sebagai pemati ilmu kebalnya. Wallahualam. Almarhum yang syahid terus dikebumikan di pusara ini.

Sehingga kini, setelah 65 tahun pusara ini maseh gagah dan kekal di tanah perkuburan ini sebagai lambang keberanian, ketabahan, jati diri seorang anak watan mempertahankan tanah air.

Perlukah kita menukar label ini kepada pihak yang lagi satu yang mengheretnya ke hutan?

Al Fatehah. Salam Eid 1432 dan Salam Merdeka 54.



Kawasan ini dipercayai Almarhum dibunuh oleh pengganas


Pandangan dari hadapan. Disebelah kiri foto ini adalah lokasi foto di atas (kawasan pembunuhan)

Kemaskini pada 12 September 2o11



Walaupun selalu tengok filem Bukit Kepong tetapi baru tadi perasan akan persamaan pada nisan pejuang Bukit Kepong dengan nisan Koperal Raja Alang. Cuma mungkin sifatnya keseorangan di Ayer Tawar melihatkan kurang perhatian diberikan. Melalui gambar di atas, nisan pejuang Bukit Kepong telah dicat puteh. Walaupun gambar ini agak kurang sesuai akibat kelihatan kesan runtuhan tembok itu, ini adalah hasil carian yang terbaik setakat ini. Bentuk dan rupa paras nisan adalah sama disamping plet yang ditampalkan di nisan berkenaan. Adalah diharap dibuat sedikit pembelaan terhadap nisan Koperal Raja Alang supaya kisahnya terus dikenang untuk generasi akan datang. Wajar didokumentasikan kisah Koperal Raja Alang ini dengan teratur kerana aku pun menulis berdasarkan penceritaan lisan penduduk setempat yang berada pada masa itu.