07 July 2012

Dah lama daaaahh

Itulah. Sebenarnya dah lama elemen berbilang kaum dimasukkan dalam filem/drama di Malaysia ini. Kalau sitcom, paling senang ialah Syyy... Kg Seri Wangi dan Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Berikut adalah tulisan daripada Zainuri Misfar akan perihal benda ni. Kadangkala, manusia boleh dibentuk secara sedar terus atau tidak sedar tidak terus.
Wonder apabila old timer bilang : " kami lebih open dalam interaction, happy co exist together masa kami muda-muda dulu. Tapi bila dah ada segregation dalam life, education... hidup dah seperti silo. Hard to see youngsters sama-sama buat aktiviti walaupon bodoh-bodoh enjoy-enjoy"
10 Januari 2010 : Berita Harian
Fragmen: Imej 1Malaysia Dalam Filem Klasik Tempatan

Oleh Zainuri Misfar

PADA malam Isnin lalu, ada masa terluang menonton filem Enam Jahanam yang disiarkan di TV2. Memanglah sesekali seronok juga menonton filem arahan dan lakonan Tan Sri P Ramlee. Filem itu dibuat pada tahun 1969. Filem ini boleh dianggap sebagai semi-purba, berdasarkan kepada pakaian pelakonnya seperti baju kemeja yang selalunya jarang dilihat dalam filem berlatarkan kisah purba atau Melayu klasik.

Kalau diikutkan unsur 1Malaysia sudah ada dalam filem ini. P Ramlee meletakkan orang Melayu sebagai peniaga barang kemas dan penjual kain, orang Cina dengan kedai gambar, manakala masyarakat India menjalankan perniagaan kedai runcit. Sememangnya dalam kebanyakan filem P Ramlee, unsur 1Malaysia dipaparkan secara langsung atau tidak langsung. Dalam erti kata lain ia dilakukan secara bersahaja biarpun secara komedi seperti babak pasangan keluarga India yang asyik bergaduh di tengah malam dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Dalam filem Sesudah Subuh yang diterbitkan pada tahun 1967, P. Ramlee sudah membawa masuk pelakon dari pelbagai kaum seperti Vera Wee yang memegang watak Alice, Hoo Thy Chong sebagai Allan, Soriya Kumari (Chandra), VI Stanley (Krishna Murthi), HG Gill, Sivapakiam Dharmalinggam, untuk digandingkan dengan pelakon Melayu yang dibarisi Khatijah Hashim, Saloma dan Ed Osmera sertaJuliana Ibrahim. Begitu juga dengan filem Gerimis (diterbitkan pada tahun 1968), apabila P Ramlee mengetengahkan pelakon kaum India, Chandra Shamugam sebagai pelakon utamanya dengan watak Leela iaitu isteri kepada Kamal (P Ramlee).

Sementara itu, lagu Di Mana Ku Cari Ganti dimuatkan semula dalam filem ini. Sebelum itu, lagu ini sudah dimuatkan dalam filem Ibu Mertuaku yang dibuat pada tahun 1962. P Ramlee meletakkan lagu ini pada kedudukan hampir sama. Kalau dalam Ibu Mertuaku, P Ramlee menyanyikan lagu itu kerana meratapi kematian isterinya, sedangkan dibawa lari oleh ibu mertuanya, Nyonya Mansor (lakonan Mak Dara), manakala Zaiton (Kalsom B atau Combi) pula asyik terkenang dengan kematian tunangnya yang terbunuh di medan perang Dalam filem Enam Jahanam pula, lagu ini mengiringi kesedihan Tantari (P Ramlee) ketika di kubur isterinya Masmera (lakonan Noor Azizah) yang mati dibunuh dan diperkosa oleh enam jahanam.

Enam jahanam bukanlah enam lelaki yang jadi perompak atau penyamun, tapi dalam bahasa tersirat, ia adalah satu istilah daripada P Ramlee yang menggambarkan enam perkara yang boleh menjahanamkan negara yang perlu dihapuskan. Enam perkara besar itu mungkin berkaitan dengan salah guna kuasa, rasuah, pembelot atau pengkhianat dan penjenayah. Nama watak penjahat itu juga barangkali ada makna tersendiri bagi P Ramlee, iaitu Paragas yang dipegang oleh Osman Md Amin, Sujamang (JB Yusof) , Karambit (Ahmad Dadida), Katipang (Kamal Idris), Mumbala (Sharif Baboo) dan Jaginda dilakonkan oleh Ibrahim Sabtu.

Begitulah secara ringkasnya mengenai apa yang tersirat di sebalik filem Enam Jahanam yang turut menampilkan Yusof Latiff sebagai Damburi, Idris Hashim (Sanggabuana), Minah Hashim (isteri Sanggabuana) dan Karim Latiff (Sultan). Sebenarnya bukan saja karya P Ramlee, terdapat beberapa filem pada tahun 1970-an dan 80-an yang sudah memberikan suntikan 1Malaysia secara bersahaja. FilemMekanik arahan Othman Hafsham pada 1983 adalah satu lagi filem yang memberikan latar belakang rakyat Malaysia yang hidup dalam harmoni.

Kita sendiri dan mereka yang pernah menonton filem Mekanik mungkin tidak dapat lupa dengan sepatah dialog daripada Nina lakonan Susan Lankaster iaitu; “Orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke... orang biru ke. Kita orang Malaysia kan?". Dalam filem Man Laksa arahan Mamat Khalid juga turut memperlihatkan keharmonian tiga kaum utama di negara ini yang boleh hidup dan bergembira bersama tanpa menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Dalam konteks sekarang, kita tidak perlulah ada program seperti drama TV yang hendak mengajar macam mana hendak bersatu padu antara kaum. Semua orang tahu hidup aman damai dan bersatu padu itu penting dalam sesebuah negara. Memanglah program seperti ini masih perlu, tetapi usahlah bersifat retorik. Seperti filem Enam Jahanam, Sesudah Subuh, Gerimis, Mekanik dan Man Laksa adalah antara filem-filem atau karya gambar bergerak yang memupuk keharmonian hidup bersatu dan mengekalkan kedamaian walaupun negara kita pelbagai kaum dengan cara bersahaja, bukan dibuat-buat.

Oleh itu, RTM dan agensi kerajaan lain seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Filem Negara Malaysia (FNM) perlulah memikirkan kaedah yang lebih kreatif dalam menghasilkan karya berbentuk kenegaraan. Malaysia kini adalah negara moden dengan penduduknya mempunyai tahap pendidikan yang semakin baik. Jadi kaedah untuk menghasilkan iklan atau program berbentuk propaganda kerajaan ini kenalah bersesuaian dengan tahap pemikiran rakyat.

Bukan saja program TV, tetapi lagu-lagu yang disiarkan menerusi radio juga biarlah benar-benar memberi kesan kepada pendengar, terutama golongan sasar seperti kanak-kanak dan golongan remaja kerana mereka adalah generasi masa depan negara. Apa yang kita dengar pada lagu-lagu propaganda untuk tujuan patriotik dan kenegaraan ialah bahasa pada seni katanya yang kadang-kadang ‘bombastik’ dan agak sukar difahami oleh anak-anak kecil. jadi, penulis lirik untuk lagu patriotik kenalah lihat dengan lagu patriotik klasik seperti lirik Tanggal 31 yang catchy dan mudah didengar. - zainuri@bharian.com.my

No comments: