19 January 2011

kita bagi laluan kepada Tajuk ini dahulu.



Mula mula nak tulis pasai bookie bola. Tapi dalam keadaan tertekan termasuk artikel ini dalam FB dokter. Ditagged. Atas kebenaran tuan punya nota, dokter kongsi di sini : Silakan :


Falsafah Disebalik Program Mangkuk Tingkat - Part I

Oleh Ameer Soekre Ishak - Pengasas Program Mangkuk Tingkat

Pertemuan yang telah diatur sejak bulan Ogos 2010 akhirnya menjadi kenyataan apabila Mr Roger Olivieira dari Belanda akhirnya berada di Fraser Place, Kuala Lumpur. Perjalanan yang jauh dari Amsterdam itu mempunyai tujuan utama iaitu untuk mengetahui apakah falsafah disebalik program Mangkuk Tingkat.



Semuanya bermula semasa Mr Roger berada di Kuala Lumpur pada bulan Mei 2010 dan membaca sebuah artikel di akhbar New Strait Time mengenai program Mangkuk Tingkat. Pada pendapat beliau program ini nampak cantik dan sempurna perjalanannya tetapi ada beberapa perkara yang beliau sendiri tidak faham kenapa ianya boleh dilaksanakan di Malaysia tanpa banyak soal dipihak pelanggan maupun masyarakat. Falsafah serta konsep perlaksanaannya membingungkan beliau hingga mendorong beliau menghubungi saya melalui Facebook bagi mengaturkan satu pertemuan. Pada mulanya beliau mencadangkan kami bertemu di London pada bulan November 2010 kerana saya dijangka terbang ke London pada masa tersebut untuk menghadiri konvokesyen anak saya di Middlesbrough, UK . Namun belum ada jodoh kami kerana saya terpaksa membatalkan rancangan tersebut atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.



Akhirnya kami bertemu semalam dalam suasana yang lebih baik kerana saya mempunyai banyak fakta-fakta baru mengenai Mangkuk Tingkat. Mr Roger adalah seorang pengarah pemasaran disebuah syarikat pengiklanan di Belanda. Tugas beliau memaksa beliau beliau mengembara ke serata dunia bagi melihat dan mencari idea-idea baru. Tetapi menurut beliau sejak membaca artikel mengenai mangkuk tingkat fikiran beliau terpaku pada subjek ini dan sentiasa cuba menyusun jadual yang sibuk beliau untuk datang Kuala Lumpur.



Bertemu di Level 2 Fraser Place tepat jam 3.00 petang dengan soalan pertama keluar dari mulut Mr Roger “kenapa konsep perniagaan mangkuk tingkat tidak dilebarkan sayapnya keseluruh dunia ? “. Saya tidak ada jawapan untuk soalan itu kerana semasa saya memulakan program ini matlamat saya ialah untuk membantu wanita-wanita yang memerlukan pekerjaan dari rumah. Saya tidak terfikir untuk meluaskan konsep perniagaan ini keluar dari Malaysia walaupun saya pernah memberi taklimat kepada wakil-wakil dari 23 buah negara OIC pada bulan November 2009 dan menarik perhatian kebanyakan dari mereka. Pada masa tersebut wakil-wakil dari Bosnia, Pakistan, Bangladesh dan juga Nigeria telah menunjukkan minat yang mendalam dan ingin agar saya datang ke tempat mereka bagi memulakan program mangkuk tingkat disana. Roger kemudiannya menceritakan bahawa beliau telah membentangkan konsep mangkuk tingkat ini kepada rakan-rakan beliau di Belanda dan mereka menyuarakan kekaguman tentang konsep dan pelan perlaksanaannya yang begitu unik.



Bagaimanakah Mangkuk Tingkat mengawal kualiti masakan dan mengapakah pelanggan boleh menerima rasa yang pastinya tidak sama antara satu lokasi dengan lokasi yang lain ? . Soalan oleh Mr Roger ini memang ada jawapannya dalam minda saya sejak saya memulakan program Mangkuk Tingkat. Nilai yang kita selitkan didalam program ini ialah bahawa pelanggan akan mendapat hidangan yang dimasak dari rumah sepertimana yang pernah dimasak oleh ibu kita. Nilai ini sudah lama hilang dari hidangan makanan dari gerai-gerai maupun di restoran-restoran besar. Setiap dari kita pernah merasai masakan dari air tangan ibu. Kita menerima seadanya apa yang ibu kita masak walaupun kadangkala ada sedikit rungutan tentang pahit manis serta pedas masinnya namun kita masih gemar dengan apa yang ibu masak. Oleh sebab sajian dibawah program Mangkuk Tingkat dimasak oleh wanita-wanita yang telah berkeluarga dan mempunyai pengalaman memasak untuk keluarga mereka maka kita panjangkan rasa dan kaedahnya supaya dapat dinikmati oleh orang ramai yang melanggan Mangkuk Tingkat. Kita menyarankan agar tukang-tukang masak dibawah program Mangkuk Tingkat menyediakan sajian untuk pelanggan mereka dengan niat serta kaedah seperti mana mereka memasak untuk disajikan kepada keluarga mereka. Hasilnya ialah maklumbalas positif dari para pelanggan. Pada tahap ini Roger terpaku dengan penerangan yang saya ketengahkan. Dengan bingkas Roger memberi respon dengan menyatakan bahawa perkara inilah yang tidak saya perjelaskan secara terperinci semasa ditemuramah oleh akhbar New Strait Times sebelum ini. Menurutnya inilah rahsia yang ramai orang tidak menyedarinya semasa menyediakan hidangan untuk pelanggan baik di restoran-restoran maupun di hotel-hotel. Roger yang mempunyai pengalaman sebagai tukang masak kagum dengan konsep “air tangan ibu “ yang saya perhalusi kepada beliau.



Saya akan sambung kisah pertemuan saya dengan Roger dalam tulisan saya di bahagian kedua nanti …



*** Ameer Soekre Ishak ialah Tok Pengulu Dokter :)

No comments: