KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 30 jalan di sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada acara Larian Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, Ahad ini.
Program itu dianjurkan bersama Standard Chartered Bank, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (POAWP) dan Golazo Sdn Bhd.
Antara jalan terbabit termasuk Jalan Raja, Jalan Hishamuddin, Jalan Travers, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Syed Putra, Jalan Loke Yew, Jalan Cheras, Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Ipoh, Jalan Kuching, Jalan Duta, Jalan Sultan Salehuddin, Jalan Parlimen, Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman dan beberapa lagi jalan utama di ibu kota.
Dataran Merdeka dipilih sebagai tempat pelepasan dan tamat larian dan ia akan mula ditutup pada petang Sabtu sebelum berlangsungnya kejohanan bagi tujuan pemasangan kanopi.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Nor, berkata seramai 350 anggota trafik dan petugas DBKL akan dikerah pada hari terbabit bagi mengawal keselamatan dan juga membuat kawalan lalu lintas.
Katanya, jalan akan ditutup 15 minit sebelum pelepasan dan ia akan dilakukan secara berperingkat bergantung kepada arah laluan.
“Pelepasan larian pada kali ini bermula pada jam 5 pagi, 6 pagi, 7 pagi, 7.30 pagi, 8 pagi dan 8.45 pagi.
“Tujuan penutupan jalan adalah untuk memastikan keselamatan peserta dan kami meminta kerjasama dari pemandu kenderaan untuk tidak masuk ke pusat bandar dalam tempoh berkenaan supaya kejohanan berjalan lancar.
“Pemilik kenderaan juga diminta tidak meletakkan kenderaan di laluan terbabit bagi melicinkan perjalanan dan jalan dijangka kembali dibuka pada jam 12 tengah hari,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Golazo Sdn Bhd, Rainer Biemans, berkata maraton kali ini terdiri daripada tujuh kategori iaitu 42 kilometer (km), 21km, 10km, 5km, 3km dan 950 meter.
1 comment:
950 meta tu aku larat.....hat len tu pakai dak dah la.... :D
Post a Comment