15 December 2010

Kaum, bangsa dan rakyat Malaysia - DATUK DR. HASSAN AHMAD

'BANGSA MALAYSIA' tidak sesuai digunakan di negara pelbagai kaum etnik. Istilah yang lebih sesuai adalah rakyat Malaysia. Kita semua adalah rakyat Malaysia, tidak kira kaum etnik atau bangsa.


DARI segi implikasi makna sosiobudaya dan sosiopolitik, istilah kaum, bangsa dan rakyat tidak sama maknanya. Kaum bererti puak atau golongan yang bermacam-macam jenisnya - ada 'kaum tua' dan 'kaum muda', ada kaum atau puak (atau mazhab sunnah atau puak syiah), ada kaum atau 'golongan kiri' dan 'golongan kanan' (istilah Barat), dan banyak lagi.


Semua jenis kaum atau golongan yang tersebut itu tidak mengira bangsa atau etnik yang menjadi tali atau faktor yang mengikat keanggotaan kaum itu adalah fahaman bersama mereka tentang sesuatu hal, baik ideologi atau lain-lain.Tetapi ada juga kaum yang keanggotaannya terdiri daripada keturunan etnik atau bangsa yang sama. Misalnya, di Malaysia - ada kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.


Jadi, kaum juga boleh bererti race atau ras yang menurut takrif ilmu antropologi bererti kaum yang anggotanya mempunyai ciri-ciri dan rupa bentuk fizikal yang pada keseluruhannya sama termasuk mengamalkan adat resam iaitu ciri-ciri budaya yang sama.
Dari segi ini, kaum juga boleh bererti 'suku kaum' atau tribes atau tribal groups.


Kalau mengikut konsep sosiopolitik Barat, kaum bererti golongan etnik yang tidak mempunyai negara atau 'state', misalnya kaum gipsi di Eropah atau kaum Yahudi di merata Eropah yang tidak mempunyai negara (sebelum Israel ditubuhkan).


Menurut konsep itu, bangsa atau nation dikaitkan dengan negara atau 'state'. Konsep ini tercetus di Eropah setelah lahir perasaan atau kesedaran nasionalisme bangsa-bangsa Eropah yang sampai kemuncaknya pada zaman Nazi dalam tahun 1930-an iaitu apabila Hitler cuba mewujudkan sebuah 'nation-state' atau negara-bangsa Jerman 'super race', negara yang terdiri daripada penduduk bangsa Jerman tulen sahaja.


Maka berlakulah gerakan membersihkan negara Jerman itu daripada semua kaum bukan keturunan bangsa Jerman tulen dan asli. Kaum yang menjadi sasaran gerakan pembersihan etnik itu adalah gipsi dan Yahudi, yang dianggap kaum merempat yang tidak mempunyai 'negara' sendiri.


Konsep atau ideologi 'nation-state' yang bererti negara yang terdiri daripada satu bangsa sahaja itu secara ironinya sedang dibina oleh kaum Yahudi di Israel. Mereka mahu dan sedang membina sebuah 'negara-bangsa' Yahudi, iaitu Israel yang penduduknya terdiri daripada satu bangsa sahaja, iaitu bangsa Yahudi.


Semua kaum lain akan dihapuskan atau kalau tidak dihapuskan mereka akan dijadikan kaum kelas kedua atau ketiga, kaum yang tidak akan diberikan hak dan layanan yang sama dengan 'bangsa Yahudi tulen'.


Saya katakan ini adalah situasi yang ironis kerana apa yang dilakukan oleh Nazi terhadap kaum Yahudi dalam kempen Hitler untuk menubuhkan negara-bangsa Jerman yang tulen kini sedang dilakukan oleh kaum Yahudi di Israel.


Bagaimana keadaan di Malaysia? Suatu hal yang perlu dijelaskan adalah, kalau mengikut takrif sosiopolitik Barat, seperti yang tersebut tadi, orang Melayu sudah menjadi bangsa atau nationsejak ratusan tahun dahulu, tidak hanya merupakan kesatuan etnik yang disebut 'kaum' sama seperti kaum-kaum lain di negara ini atau di rantau ini.


Alasannya adalah orang Melayu sudah mempunyai negeri atau negara sejak sekurang-kurangnya tertubuhnya kerajaan Melayu-Islam Samudera-Pasai dalam abad ke-13, menggantikan kerajaan Melayu-Srivijaya.


Kita lihat bagaimana, sebelum dan sejak abad itu, orang Melayu berkembang dari tahap satu kaum etnik Melayu menjadi satu kesatuan umat yang besar, merentas segala macam sempadan etnik dan sub-etnik Melayu setempat dan daerah, mendirikan kerajaan, membina negeri atau negara, siap dengan segala institusi undang-undangnya, sistem pentadbirannya, sistem keselamatan dalam negerinya, sistem pertahanannya, dan sistem pengurusan perdagangan di Selat Melaka, selain membina korpus ilmu dan persuratan yang cemerlang mulai abad ke-15 sampai ke puncak yang gemilang dalam abad ke-17 dan ke-18. Ia tidak sahaja di kawasan yang disebut 'Tanah Melayu' tetapi merentas sempadan di seluruh rantau yang orang Barat sebut the Malay Archepelago.


Bahasa yang digunakan untuk membina tamadun itu bukan dialek-dialek daerah bahasa Melayu tetapi adalah bahasa Melayu kebangsaan atau bahasa Melayu persuratan. Raffles menggunakan istilah 'the Malay nation', iaitu bangsa Melayu, tidak suku kaum Melayu.


Bangsa Melayu itu tidak lenyap, tidak terpecah atau dipecah-pecahkan menjadi kaum atau suku-suku kaum seperti kaum 'Red Indian' di Amerika, setelah datangnya tiga kuasa penjajah Barat iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris mulai awal abad ke-16 sehinggalah bangsa Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 di Tanah Melayu.Negeri-negeri Melayu dan kerajaan Melayu di Semenanjung Malaysia yang disebut Persekutuan Tanah Melayu dahulu, kekal hingga hari ini.


Bagaimanapun, istilah bangsa itu dari segi implikasi makna politiknya dalam sejarah tamadun bangsa Melayu lebih merupakan entiti atau kesatuan sosiobudaya, tidak dari segi makna politik-legalistiknya.


Kalau orang Melayu berkata dia 'megah bangsa' atau 'bangga bangsa' menjadi Melayu, ini adalah kesedaran sosiobudayanya. Tiada kaum yang tidak mempunyai perasaan 'megah kaum' atau 'megah bangsa' itu.
Bangsa Cina (di negeri China), bangsa Jepun, bangsa Korea dan semua bangsa lain di dunia mempunyai perasaan megah atau bangga bangsa sendiri.


Bagaimanapun, orang Melayu mempunyai istilah lain untuk membezakan diri mereka sebagai 'bangsa Melayu' dari segi makna sosiobudaya dengan konsep rakyat dari segi makna 'politik-legalistiknya'. Sejak negeri atau negara Melayu yang terawal ditubuhkan, penduduk dalam negeri itu disebut rakyat.


Pada zaman itu, rakyat bererti rakyat Melayu yang taat kepada raja dan negeri Melayu. Syarat untuk menjadi 'rakyat Melayu' di negeri Melayu atau rakyat raja Melayu itu adalah mereka yang berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam.
Pada zaman ini, istilah rakyat boleh disamakan dengan konsep 'warga negara'. Konsep atau istilah rakyat atau warga negara ini tidak sama lagi dengan konsep bangsa.


Apabila saya berkata bahawa saya adalah bangsa Melayu, ia merujuk kepada dua taraf saya iaitu pertama taraf dari segi asal usul sosiobudaya saya, dan kedua merujuk kepada taraf saya sebagai bangsa atau rakyat yang berasal dari negara atau negeri Melayu yang sudah ada di Tanah Melayu ini sejak ratusan tahun dahulu. Ertinya, nenek moyang saya tidak berasal dari negeri atau negara lain.
Jadi, saya mempunyai dua taraf iaitu pertama sebagai bangsa Melayu dan kedua sebagai rakyat negara yang disebut Malaysia. Taraf saya sebagai bangsa Melayu tidak boleh diubah menjadi bangsa lain kerana memang itulah keturunan saya sejak asal, dijadikan Allah sebagai bangsa manusia, sejak Nabi Adam.


Demikian juga kaum bukan Melayu, mereka tidak boleh mengubah keturunan etnik mereka, walaupun mereka boleh mengubah agama mereka. Tetapi saya dan sesiapa pun yang menjadi rakyat Malaysia boleh mengubah atau menukar kerakyatan saya, misalnya menjadi rakyat atau warga negara Jepun atau Britian atau Australia atau Cina atau India atau Indonesia.


Namun, keturunan saya sebagai bangsa Melayu tetap tidak berubah. Yang berubah adalah status kerakyatan. Begitu juga Yang Berhormat Lim Kit Siang adalah kaum etnik Cina - beliau tidak boleh mengubah status keturunan etnik Cinanya.


Tetapi beliau juga adalah rakyat atau warga negara Malaysia, bukan rakyat atau warga negara China.
Maka benarlah penjelasan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini tentang perkara ini apabila Lim Kit Siang mempersoalkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang berkata bahawa dia adalah bangsa/orang Melayu dahulu, kemudian baru rakyat Malaysia.


Gagasan IMalaysia tidak bererti gagasan untuk mewujudkan '1Bangsa Malaysia'. Ini tidak mungkin. Gagasan 1Malaysia adalah konsep kenegaraan yang ada kaitannya dengan soal kerakyatan Malaysia, dari segi undang-undang dan Perlembagaan.
Ini bererti laungan untuk mewujudkan satu 'bangsa Malaysia' adalah gagasan atau cita-cita yang mustahil tercapai. Kita jangan terikut-ikut dengan konsep atau ideologi tentang 'negara-bangsa' atau 'nation-state'.


Ini konsep yang berasal dari sentimen atau sejarah nasionalisme Barat (Eropah). Kita tahu, di dunia ini tidak ada negara yang penduduknya terdiri daripada satu bangsa sahaja. Di seluruh Eropah, penduduknya terdiri daripada pelbagai 'keturunan etnik'.
Konsep yang sudah ada dalam tradisi bangsa kita di negara ini, sejak zaman dahulu kala lagi adalah konsep rakyat. Saya mengagak bahawa salah satu tujuan 1Malaysia adalah untuk memastikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu, makmur, aman dan damai tidak berdasarkan kepentingan etnik atau kaum tetapi berdasarkan kepentingan negara dan matlamat itu hanya boleh dicapai melalui sistem dan institusi negara, melalui dasar-dasar pembangunan ekonomi, sosial, undang-undang dan politik yang adil, seimbang dan saksama kepada semua rakyat Malaysia.


Sehubungan itu, kalau kita teliti Perlembagaan Malaysia dengan fikiran dan hati yang objektif, tanpa dipengaruh oleh perasaan atau kepentingan kaum, kita akan menyedari bahawa perlembagaan itu mengandungi isi dan semangat, secara tersurat mahupun tersirat, yang mengarah kepada tiga prinsip dan matlamat yang fundamental iaitu keadilan, keseimbangan dan kesaksamaan antara kaum, khususnya dalam pembangunan dan pembahagian hasil ekonomi negara.

Oleh DATUK DR. HASSAN AHMAD

No comments: