Kunta Kinte original: Abai pertanian, mati kebuluran
2011/08/05
HARI ini, ke mana pun kita pergi atau di mana pun kita berada, kita akan dengar orang cakap pasal globalisasi. Orang cakap pasal global. Orang cakap pasal glokal.
Pasal asyik sangat cakap pasal global, glokal, meritokrasi dan liberalisasi, ramai yang jadi gelojoh dan berfantasi walaupun tak berapa tahu dan kurang mengerti.
Atas nama globalisasi dan liberalisasi, kita jadi sangat bergantung kepada Amerika walaupun kita bukan berniaga dengan Amerika saja. Kita berniaga dengan banyak lagi negara di dunia. Akibatnya, tiap kali Amerika batuk, kita kena selesema.
Boleh jadi ramai orang tidak tahu, tapi ekonomi dunia dekat-dekat nak roboh minggu ini semata-mata kerana kerajaan Amerika dah tak mampu nak bayar balik hutang.
Walaupun krisis itu telah dielakkan, tapi masalahnya tetap tidak selesai kerana Amerika masih tidak kurangkan hutang. Sebaliknya ia menaikkan had hutang melepasi AS$14 trilion (kira-kara RM42 trilion) berhutang.
Di Amerika, ada sebuah mesin dipanggil ‘debt clock’ atau jam hutang. Setiap saat jam itu pamerkan jumlah terbaru hutang kerajaan Amerika. Pada jam 9:44:07 petang GMT, 3 Ogos, hutang negara Amerika AS$14,349,921,212,064.20 atau AS$14.3 trilion. Pada saat itu, bilangan rakyat Amerika adalah 311,053,937 orang. Jadi setiap orang tanggung beban hutang AS$46,133.22.
Akibat krisis hutang negara itu, nilai dolar jatuh, pasaran modal dan kewangan dunia terumbang-ambing dan perdagangan dunia kacau-bilau.
Ramai mungkin tak sedar atau tak rasa apa-apa, tapi hakikatnya kita semua kena tempias bencana belanjawan Amerika itu. Pasaran saham kita lembap, import barangan kilang kita oleh Amerika merosot dan kadar tukaran asing kita terjejas.
Nilai ringgit naik berbanding dolar Amerika, tetapi jatuh berbanding beberapa mata wang lain. Bila nilai ringgit naik, harga import barangan Malaysia akan naik. Bila harga naik, jumlah import akan turun.
Oleh kerana Amerika dan Jepun adalah antara rakan niaga utama kita, krisis hutang kerajaan Amerika dan bencana alam Jepun jejas eksport kita.
Sesiapa yang melabur dalam pasaran saham atau beli saham amanah yang tidak dijamin nilai tentu sudah rasa kesan buruknya. Itu pun kita bernasib baik pasal pasaran saham kita masih kuat.
Jadi, dalam kita asyik cakap fasal globalisasi, liberalisasi dan transformasi, Kunta Kinte dah selalu bagi amaran jangan abaikan sektor dalam negeri.
Kunta Kinte akui sektor perkhidmatan, pembinaan dan hartanah makin penting kepada perkembangan ekonomi, tapi bahaya besar kalau kita abaikan pertanian.
Kunta Kinte susah hati bila balik kampung tengok tanah bendang diubah jadi kawasan perumahan dan kedai. Tanah Melayu bila dijadikan pekan akan tukar tangan kepada bukan Melayu. Betullah nilainya naik dan segelintir Melayu jadi kaya serta-merta, tapi bila lapar atau kebuluran, bolehkah kita makan batu dan bata, kayu dan plastik?
Kunta Kinte dah berbuih mulut bagi amaran mengenai ancaman kekurangan makanan kerana pertambahan penduduk, kenaikan taraf ekonomi dan bencana alam. Kita baru dengar berita macam mana berjuta-juta orang di Somalia sedang kebuluran dan berjuta-juta mati kebuluran di Korea Utara.
Kalau kita tak belajar lagi kerana kita bengal dan bebal atau kerana tanam padi tak glamor lagi, tunggulah masanya akan sampai bila kita akan hadapi krisis makanan yang teruk. Sekarang pun, harga makanan sedang naik dan dari semasa ke semasa, bekalan hilang.
Rugi besarlah kita kalau kita tidak gunakan bumi anugerah Allah ini dengan baik. Bumi kita subur, cuaca kita baik dan kita tak ada bencana alam. Tapi, selain pertanian komersial macam getah dan kelapa sawit, Kunta Kinte tengok kita semakin abaikan pertanian.
Tak guna kita transformasi itu dan ini, pandu itu dan ini dan buat makmal itu dan ini kalau negara tak cukup makanan. Kita boleh import, tapi harganya akan naik kerana orang lain pun import juga.
Malah sudah ada negara yang hadkan eksport bahan makanan, tambah stok makanan dan larang pertukaran penggunaan tanah pertanian kepada kegunaan lain. Negara besar atau kaya macam China dan Arab Saudi telah mula beli atau pajak berjuta-juta hektar tanah di Indonesia, Afrika dan Amerika Selatan untuk keluarkan bahan makanan macam beras, gandum, kacang soya dan jagung, ayam, kambing, lembu, babi dan ikan. Kita pun buat juga tapi untuk taman kelapa sawit saja.
Memanglah betul, sekarang duit kita naik berbanding dolar Amerika, jadi logiknya bolehlah kita import gandum atau jagung dari Amerika dengan lebih murah. Tapi sumber gandum kita dari Australia dan duit kita jatuh berbanding dolar Australia.
Jadi, dalam kerajaan dan swasta berusaha atasi kesan krisis hutang kerajaan Amerika ini, Kunta Kinte harap mereka fikirkanlah juga isu keselamatan makanan ini.
Kita di Malaysia ni sebenarnya hidup dalam khayalan kerana harga beras, gula dan banyak lagi dikawal. Kalau harga dan bekalan beras tak dikawal, kita mungkin sudah rasa kesan krisis makanan dunia.
Misalnya pada 2008, harga beras dunia naik dua kali ganda kerana kemarau di Australia, tapi kita tak tahu pun sebab harga dan bekalan beras dikawal.
Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata Kunta Kinte tak yakin sangat dengan usaha majukan pertanian, terutama pertanian bukan ladang. Tak macam zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak bila kita betul-betul utamakan pertanian sambil promosikan perindustrian.
Tak salah kita nak transformasi ekonomi, nak jadi negara pendapatan tinggi dan utamakan perkhidmatan, tapi apa guna transformasi kalau rakyat kurang nasi dan harga makanan naik tak berhenti-henti. Kunta Kinte adalah produk Buku Hijau dan Dasar Ekonomi Baru Tun Abdul Razak. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment